Legal

Dasar Privasi Samsung Knox

Berkuat kuasa:  08/01/2021

Samsung Electronics Co., Ltd. ("Samsung,"), sedar betapa pentingnya privasi kepada pelanggannya, pekerja dan rakan kongsi mereka dan kami berusaha untuk bersikap telus tentang cara kami mengumpulkan, menggunakan, mendedahkan, memindahkan dan menyimpan maklumat anda. Dasar Privasi ini memberikan gambaran keseluruhan tentang amalan maklumat kami berkenaan dengan maklumat peribadi yang dikumpulkan melalui Samsung Knox atau perkhidmatan lain yang dipaut atau dirujukkan kepada Dasar Privasi ini (secara kolektif, “Khidmat Perniagaan”).

Dasar Privasi ini mungkin akan dikemas kini dari semasa ke semasa untuk mencerminkan perubahan pada amalan maklumat peribadi kami berkenaan Khidmat Perniagaan tersebut atau perubahan pada undang-undang yang berkenaan. Kami akan menunjukkan bila kemas kini terakhir dilaksanakan pada bahagian atas Dasar Privasi ini. Jika kami mengemas kini Dasar Privasi, kami akan memaklumkan anda terlebih dahulu tentang perubahan yang kami anggap adalah penting dengan meletakkan notis pada Khidmat Perniagaan atau dengan menghantar e-mel kepada anda, jika wajar.

Apakah maklumat yang kami kumpulkan tentang anda?

Kami boleh mengumpulkan pelbagai jenis maklumat peribadi yang berkaitan dengan Khidmat Perniagaan.

Sebagai contoh:

  • Kami mungkin mengumpulkan maklumat peribadi yang anda berikan, seperti nama, alamat, alamat e-mel, negara dan maklumat hubungan, jawatan dan pangkat pekerjaan, syarikat, butiran pendaftaran, maklumat tentang peranti yang diuruskan (seperti IMEI, nombor siri, nama model) dan apa-apa komunikasi yang anda hantar atau sampaikan kepada kami;
  • Kami boleh mengumpulkan data tentang penggunaan Khidmat Perniagaan oleh anda, termasuk masa dan tempoh penggunaan anda; maklumat yang disimpan dalam kuki yang telah kami tetapkan pada peranti anda; dan maklumat tentang tetapan peranti anda;
  • Kami mungkin mengumpulkan maklumat tentang produk dan perkhidmatan yang anda atau majikan anda telah beli atau terima dan data pembayaran serta maklumat lain yang diberikan berkaitan dengan sesuatu transaksi;
  • Kami juga mungkin menerima maklumat peribadi tentang anda daripada majikan atau pembekal perkhidmatan anda atau daripada sumber yang tersedia secara umum dan komersial (seperti yang dibenarkan oleh undang-undang), yang kami boleh gabungkan dengan maklumat lain yang kami terima daripada atau tentang anda.

Bagaimanakah kami menggunakan maklumat anda?

Kami mungkin menggunakan maklumat yang kami kumpulkan untuk tujuan yang berikut:

  • untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang anda (atau majikan anda) minta dan untuk mendaftarkan atau mengesahkan anda atau peranti anda;
  • untuk menawarkan produk dan perkhidmatan yang lebih baik dan tersuai yang mengambil kira sejarah pembelian dan rekod perkhidmatan syarikat anda dan maklumat lain yang berkaitan, apabila diminta;
  • tertakluk kepada persetujuan anda yang berasingan sekiranya diperlukan oleh undang-undang yang berkenaan, untuk memberitahu anda tentang produk dan perkhidmatan baharu;
  • untuk penilaian dan analisis pasaran, pelanggan, produk dan perkhidmatan kami (termasuk meminta pendapat anda tentang produk dan perkhidmatan kami dan menjalankan tinjauan pelanggan);
  • untuk memahami cara syarikat menggunakan Perkhidmatan Perniagaan supaya kita dapat memperbaikinya dan membangunkan produk dan perkhidmatan baharu;
  • untuk menyediakan khidmat penyelenggaraan dan mengekalkan tahap keselamatan yang mencukupi pada Khidmat Perniagaan;
  • untuk melindungi hak, harta benda atau keselamatan Samsung, atau mana-mana sekutu, rakan niaga, pekerja atau pelanggan kami masing-masing, (misalnya, dalam prosiding undang-undang, siasatan dalaman dan siasatan oleh pihak berkuasa yang layak); dan
  • selainnya dengan persetujuan anda yang berasingan atau seperti yang dijelaskan kepada anda pada masa maklumat anda dikumpulkan.

Melalui Khidmat Perniagaan, kami boleh mengumpulkan maklumat peribadi tentang aktiviti dalam talian anda pada peranti yang disambungkan dari masa ke masa dan merentasi laman web pihak ketiga, peranti, aplikasi serta ciri dan perkhidmatan dalam talian yang lain. Kami boleh menggunakan perkhidmatan analitik pihak ketiga, seperti Google Analytics. Pembekal perkhidmatan yang menguruskan perkhidmatan analitik ini membantu kami untuk menganalisis penggunaan Khidmat Perniagaan oleh anda dan meningkatkan Khidmat Perniagaan. Maklumat yang kami peroleh boleh didedahkan atau dikumpulkan secara terus oleh penyedia ini dan pihak ketiga relevan lain yang menggunakan maklumat tersebut, (misalnya untuk menilai penggunaan Khidmat Perniagaan dan membantu mentadbir Khidmat Perniagaan dan mengenal pasti masalah teknikal). Untuk ketahui lebih lanjut tentang Google Analytics, sila lawati http://www.google.com/analytics/learn/privacy.html dan https://www.google.com/policies/privacy/partners/.

Kepada siapa kami dedahkan maklumat anda?

Kami tidak mendedahkan maklumat anda kepada pihak ketiga bagi tujuan perniagaan atau pemasaran mereka sendiri tanpa persetujuan anda. Namun kami boleh berkongsi maklumat anda dengan entiti berikut:

  • Sekutu Samsung;
  • pihak ketiga apabila perlu untuk menyediakan kepada anda produk dan perkhidmatan yang anda minta. Sebagai contoh, kami mungkin mendedahkan data pembayaran anda kepada institusi kewangan yang sesuai untuk memproses transaksi yang anda telah minta;
  • syarikat yang menyediakan perkhidmatan untuk atau bagi pihak kami, seperti syarikat yang membantu kami dalam proses pengebilan;
  • pihak-pihak yang lain: (i) untuk mematuhi undang-undang atau bertindak balas kepada proses perundangan yang wajib (seperti waran geledah atau perintah mahkamah lain); (ii) untuk mengesahkan atau menguatkuasakan pematuhan dengan dasar yang mengurus tadbir Khidmat Perniagaan kami; (iii) untuk melindungi hak, harta benda atau keselamatan Samsung atau mana-mana sekutu, rakan niaga atau pelanggan kami masing-masing; (iv) sebagai sebahagian daripada penggabungan atau pemindahan atau sekiranya berlaku kebankrapan;
  • dengan pihak ketiga yang lain apabila anda bersetuju kepada perkongsian atau meminta perkongsian tersebut.

Hantaran yang anda buat di kawasan awam laman web, aplikasi mudah alih atau perkhidmatan dalam talian lain, (seperti papan buletin) dapat dilihat oleh pengguna Khidmat Perniagaan yang lain. Kami tidak mengawal dan tidak bertanggung jawab ke atas maklumat ini, bagaimana pengguna Khidmat Perniagaan lain mungkin menggunanya. Sebagai contoh, maklumat peribadi yang anda serahkan di kawasan awam boleh dikumpulkan dan digunakan oleh orang lain untuk menghantar kepada anda mesej tanpa diminta atau untuk tujuan lain.

Apakah yang kami lakukan untuk memastikan keselamatan maklumat anda?

Kami telah mengambil langkah fizikal dan teknikal yang munasabah, termasuk penyulitan pangkalan data, untuk melindungi maklumat yang kami kumpulkan berhubung dengan Khidmat Perniagaan. Walau bagaimanapun, harap maklum bahawa walaupun kami mengambil langkah yang munasabah untuk melindungi maklumat anda, tiada laman web, penghantaran Internet, sistem komputer atau sambungan wayarles yang selamat sepenuhnya.

Di manakah kami memindahkan maklumat anda?

Penggunaan atau penyertaan anda dalam Khidmat Perniagaan mungkin melibatkan pemindahan, storan dan pemprosesan maklumat anda di luar negara kediaman anda, selaras dengan dasar ini. Harap maklum bahawa undang-undang perlindungan data dan undang-undang lain di negara yang maklumat anda mungkin dipindahkan mungkin tidak selengkap undang-undang di negara anda. Kami akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya, sebagai mematuhi undang-undang yang berkenaan, bagi memastikan data peribadi anda terus dilindungi.

Bolehkah anda mengakses maklumat anda?

Di bawah undang-undang beberapa bidang kuasa, anda mungkin berhak untuk meminta butiran berkenaan dengan maklumat yang kami kumpulkan tentang anda dan untuk membetulkan ketidaktepatan dalam maklumat tersebut. Kami boleh menolak untuk memproses permintaan berulang yang tidak munasabah, yang memerlukan usaha teknikal yang tidak seimbang, membahayakan privasi orang lain, yang sangat tidak praktikal atau yang mana akses sebaliknya tidak diperlukan oleh undang-undang tempatan. Jika anda ingin meminta akses kepada maklumat anda, sila hubungi kami melalui kaedah yang digariskan di bahagian Hubungan Dasar Privasi ini.

Jika anda meminta pemadaman maklumat peribadi, anda mengakui bahawa anda mungkin tidak dapat mengakses atau menggunakan Khidmat Perniagaan dan baki maklumat peribadi tersebut mungkin akan berada dalam rekod dan arkib Samsung buat sementara waktu, tetapi Samsung tidak akan menggunakan maklumat tersebut untuk tujuan komersial. Anda memahami bahawa walaupun permintaan anda untuk pemadaman, Samsung berhak menyimpan maklumat peribadi anda atau bahagian yang relevan daripadanya, jika Samsung telah menggantungkan, mengehadkan atau menghentikan akses anda kepada laman web kerana melanggar Terma Penggunaan Samsung, jika ini perlu untuk melindungi hak, harta benda atau keselamatan Samsung atau mana-mana sekutu, rakan niaga, pekerja atau pelanggan kami masing-masing.

Berapa lama kami menyimpan maklumat anda?

Kami mengambil langkah yang munasabah untuk memastikan bahawa kami mengekalkan maklumat tentang anda hanya selama ia diperlukan bagi tujuan ia dikumpulkan atau seperti yang diperlukan di bawah sebarang kontrak atau undang-undang yang berkenaan.

Pautan dan Produk Pihak Ketiga pada Perkhidmatan Kami

Khidmat Perniagaan kami mungkin memaut kepada laman web dan perkhidmatan pihak ketiga yang berada di luar kawalan kami. Kami tidak bertanggungjawab bagi keselamatan atau privasi sebarang maklumat yang dikumpulkan oleh laman web atau perkhidmatan lain. Anda harus mengambil langkah berjaga-jaga dan menyemak pernyataan privasi yang berkenaan dengan tapak web dan perkhidmatan pihak ketiga yang anda gunakan.

Kuki, suar dan teknologi yang serupa

 Kami, serta pihak ketiga tertentu yang menyediakan kandungan, pengiklanan atau kefungsian lain pada Khidmat Perniagaan kami, mungkin akan menggunakan kuki, suar dan teknologi lain dalam bidang tertentu Khidmat Perniagaan kami.

Kuki

Kuki ialah fail kecil yang menyimpan maklumat pada peranti anda. Ia membolehkan entiti yang meletakkan kuki pada peranti anda untuk mengenali anda di pelbagai laman web, perkhidmatan, peranti dan/atau sesi penyemakan imbas. Kuki memenuhi banyak matlamat yang berguna. Sebagai contoh:

  • Kuki boleh mengingati kelayakan log masuk anda supaya anda tidak perlu memasukkan kelayakan tersebut setiap kali anda log masuk ke sesuatu perkhidmatan.

Kuki membantu kami dan pihak ketiga memahami bahagian Khidmat Perniagaan kami yang paling popular kerana ia membantu kami melihat halaman dan ciri yang diakses oleh pengunjung dan jumlah masa yang dihabiskan pada halaman tersebut. Dengan mengkaji maklumat jenis ini, kami dapat menyesuaikan Khidmat Perniagaan dengan lebih baik dan menyediakan anda dengan pengalaman yang lebih baik.

  • Kuki membantu kami dan pihak ketiga memahami iklan yang telah anda lihat supaya anda tidak akan menerima iklan yang sama setiap kali anda mengakses sesuatu Perkhidmatan MSS.
  • Kuki membantu kami dan pihak ketiga menyediakan kandungan dan iklan yang berkenaan dengan anda dengan mengumpulkan maklumat tentang penggunaan anda bagi Khidmat Perniagaan kami dan laman web serta aplikasi lain.

Apabila anda menggunakan penyemak imbas web untuk mengakses Khidmat Perniagaan, anda boleh mengkonfigurasi penyemak imbas anda untuk menerima semua kuki, menolak semua kuki atau memaklumkan anda apabila kuki dihantar. Setiap penyemak imbas adalah berbeza, oleh itu semak menu "Bantuan" penyemak imbas anda untuk mengetahui cara mengubah pilihan kuki anda. Sistem operasi peranti anda mungkin mengandungi kawalan tambahan untuk kuki.

Walau bagaimanapun, harap maklum bahawa sesetengah Khidmat Perniagaan mungkin direka bentuk untuk berfungsi menggunakan kuki dan bahawa, melumpuhkan kuki boleh menjejaskan keupayaan anda untuk menggunakan Khidmat Perniagaan atau bahagian tertentu Khidmat tersebut.

Storan Tempatan Lain

Kami, bersama pihak ketiga tertentu, mungkin akan menggunakan jenis teknologi storan tempatan lain, seperti Local Shared Objects (juga dirujuk sebagai “Kuki Flash”) dan storan tempatan HTML5, berhubung dengan Perkhidmatan Perniagaan kami. Teknologi ini adalah serupa dengan kuki yang dibincangkan di atas di mana ia disimpan pada peranti anda dan boleh digunakan untuk menyimpan maklumat tertentu tentang aktiviti dan keutamaan anda. Walau bagaimanapun, teknologi ini mungkin menggunakan bahagian peranti anda yang berlainan daripada kuki standard dan anda mungkin tidak dapat mengawal teknologi tersebut menggunakan alat dan aturan pelayar standard. Untuk maklumat mengenai menyahaktifkan atau memadamkan maklumat yang terdapat dalam kuki Flash, sila klik di sini.

Suar

Kami, bersama pihak ketiga tertentu, juga mungkin akan menggunakan teknologi yang dipanggil suar (atau “piksel”) yang menyampaikan maklumat daripada peranti anda ke pelayan. Suar boleh dibenamkan dalam kandungan dalam talian, video dan e-mel dan boleh membenarkan pelayan untuk membaca jenis maklumat tertentu daripada peranti anda, mengetahui masa anda telah melihat kandungan tertentu atau mesej e-mel tertentu, menentukan masa dan tarikh anda melihat suar tersebut dan alamat IP peranti anda. Kami dan pihak ketiga tertentu menggunakan suar bagi pelbagai tujuan, termasuk menganalisis penggunaan Khidmat Perniagaan kami dan (bersama kuki) untuk menyediakan kandungan dan iklan yang lebih berkenaan dengan anda.

Dengan mengakses dan menggunakan Khidmat Perniagaan kami, anda memberikan persetujuan kepada penyimpanan kuki, teknologi storan tempatan lain, suar dan maklumat lain pada peranti anda. Anda juga bersetuju untuk memberikan akses kepada kuki, teknologi storan tempatan, suar dan maklumat seperti itu oleh kami dan pihak ketiga yang disebutkan di atas.

Hubungan

Jika anda ada apa-apa pertanyaan tentang dasar ini, sila hubungi kami di:

Samsung Electronics Co., Ltd.

 Kumpulan PM B2B Bahagian Mudah Alihdataprivacy@samsungknox.com

Back to top